![[Image: michael-1.png]](http://news.abnxcess.com/bm/wp-content/uploads/2014/06/michael-1.png)
PERANCIS – Doktor bekas juara Formula Satu (F1), Michael Schumacher mengecam pengumuman yang dibuat oleh pasukan pengurusan pelumba tersebut yang menyatakan bahawa Schumacher sudah sedar dari koma.
Sebaliknya, Dr Gary Hartstein berkata, ia bukan satu berita malah bekas pelumba yang berusia 45 tahun itu dilihat sukar untuk sembuh sepenuhnya.
Beliau juga menyifatkan pengumuman berkenaan sebagai sangat sinis dan hampir pasti sebagai palsu.
“Kita (peminat) diberitahu bahawa Michael bukan lagi dalam keadaan koma. Ia bukan berita. Saya tidak boleh membantu tetapi berfikir bahawa ini adalah satu penggunaan bahasa yang sangat sinis,’’ kata Dr Hartstein dalam blognya.
Beliau sebelum ini berulang kali mengecam pengurusan Schumacher kerana berdiam diri dan tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai keadaan bekas pelumba tersebut sejak lebih lima setengah bulan lalu.
Lagenda F1 itu mengalami kecederaan parah di kepala selepas terlibat dalam kemalangan ketika bermain ski pada tahun lepas.
Dua hari lepas, pengurus Schumacher, Sabine Kehm mengumumkan Schumacher mulai sedar dari koma dan dipindahkan dari Hospital Universiti Grenoble di Perancis ke sebuah klinik pemulihan di bandar Swiss di Lausanne.
Bekas juara Formula itu mengalami kecederaan serius di kepala selepas kemalangan ketika bermain ski pada hujung tahun 2013 dan beliau dilaporkan mulai sedar daripada koma.
Schumacher telah dipindahkan dari hospital di Perancis ke Switzerland bagi meneruskan rawatan pemulihan.
Sementara itu, akhbar Bild dari Jerman hari ini melaporkan bahawa Schumacher tidak boleh bercakap namun mampu bernafas sendiri tanpa bantuan pernafasan untuk tempoh singkat dan memberikan tindak balas kepada suara isterinya.
Dalam pada itu, rakan-rakan pelumba F1 termasuk Lewis Hamilton, berkongsi kegembiraan di Twitter selepas mendapat berita bahawa Schumacher telah sedar dari koma.
“Kemana sahaja saya pergi orang akan bertanya mengenai Schumacher tidak kira di Amerika Syarikat atau Kanada. Malah dalam stesen minyak juga orang bertanyakan perkara sama,’’ kata Hamilton yang menggantikan Suchumacher sebagai pelumba Mercedes.