*****
*****
AMPANG JAYA: Seorang lelaki yang juga pemilik pusat snuker berusia 40 tahun maut selepas ditetak dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Pandan Indah, di sini, dipercayai bermotifkan dendam, semalam.
Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa yang baru tiba di tempat letak kereta di kawasan berkenaan dipercayai diserang dua lelaki tidak dikenali ketika keluar daripada kenderaannya Honda Civic.
Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi yang ditemui di lokasi kejadian berkata, dua suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kereta sebaik menyerang mangsa.
*****
*****
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan bahu akibat ditetak dengan senjata tajam ditemui orang awam yang berada di kawasan berkenaan.
“Mangsa dibawa ke Hospital Pantai Pandan Indah, namun disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya, motif sebenar kejadian masih disiasat, namun tidak menolak kemungkinan kes samun berikutan barang milik mangsa seperti wang tunai dan telefon bimbit tidak dilarikan.
Menurutnya, kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan berkenaan juga tidak merakamkan kejadian itu.
Katanya, usaha giat dijalankan bagi mengesan dua suspek yang menyerang mangsa.
Md Nazri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.
http://www.hmetro.com.my/articles/Pemili.../artikelMA