*****
*****
AMPANG: Beberapa lelaki memecah masuk sebuah rumah Semi-D milik seorang ahli perniagaan di Taman Ampang Jaya, di sini hanya untuk mengambil tiga kunci kereta mewah sebelum melarikan kereta berkenaan yang berharga RM800,000, awal pagi semalam.
Kejadian itu hanya disedari ahli perniagaan terbabit yang berusia lewat 40-an sebaik terjaga dari tidur apabila mendapati tiga kereta mewah yang diletakkan di depan rumahnya hilang, kira-kira jam 7 pagi.
Menurut sumber, mangsa kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati tiga kunci kereta mewahnya iaitu dua kereta BMW dan sebuah Toyota Vellfire hilang.
*****
*****
“Kejadian pecah masuk itu dipercayai berlaku pada awal pagi ketika mangsa bersama tujuh ahli keluarganya sedang tidur. Lelaki terbabit dipercayai mengumpil jeriji dan pintu bahagian dapur rumah semi-D dua tingkat milik mangsa.
“Lelaki itu kemudian mengambil ketiga-tiga kunci kereta mewah yang diletakkan di atas meja rumah berkenaan sebelum melarikannya,” katanya.
Sumber berkata, mangsa kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.
Katanya, pemeriksaan polis mendapati, suspek hanya melarikan tiga kereta dan tiada kesan geledah serta barang berharga yang hilang dalam rumah berkenaan.
Difahamkan, secara kebetulan, beberapa hari sebelum kejadian kamera litar tertutup (CCTV) rumah mangsa rosak sekali gus gagal merakam kejadian pecah masuk itu.
Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, pagi semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan secara berkumpulan dan suspek memecah masuk rumah mangsa bukan untuk menyamun barang berharga lain tetapi menyasarkan kereta mewah.
http://www.hmetro.com.my/articles/3keret.../artikelMA