
BABI hutan yang mencederakan seorang warga emas di Kampung Padang Lebar, Kuala Pilah semalam. - UTUSAN ONLINE

KUALA PILAH 9 Feb. - Seorang warga emas cedera selepas diserang seekor babi hutan setinggi kira-kira satu meter di halaman rumahnya di Kampung Padang Lebar di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, Marzuki Mohd. Yassin, 72, cedera di bahagian betis kiri, kepala dan kedua-dua tangan.
Kejadian tersebut disedari ibu mangsa, Iyah Bada, 89, yang kemudian menjerit meminta tolong sebaik melihat mangsa bergelut dengan seekor babi hutan di halaman rumah mereka.
"Pada awalnya, anak saya keluar ke belakang rumah setelah terdengar bunyi bising. Dia terserempak dengan babi itu yang bertindak agresif dan mengejarnya hingga ke halaman rumah.
"Dia bergelut dengan haiwan itu yang kemudian menggigit kaki, muka, tangan dan bahagian kepalanya," katanya di sini hari ini.
Menurut Iyah, seorang jiran yang menyedari kejadian itu datang membantu dengan memukul dan mencucuk mata babi tersebut dengan sebatang buluh sehingga haiwan itu lari ke kawasan berhampiran.
Ujarnya, Marzuki telah dibawa dengan ambulans ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah dekat sini untuk rawatan lanjut.
Haiwan tersebut yang cedera telah ditemukan mati tidak jauh dari rumah mangsa. - Utusan