
Adik beradik ditahan dalam operasi AADK di Kampung Syed Omar, Kangar, Isnin lalu. - UTUSAN ONLINE
KANGAR 17 Jan. - Tidak ada mana-mana ibu ingin melihat anak yang dilahirkan dan dipelihara dengan penuh kasih sayang selama ini mensia-siakan hidup mereka dengan menagih dadah.
Namun, itulah hakikat yang perlu diterima oleh seorang ibu tunggal berusia 60-an dari Kampung Syed Omar di sini apabila tujuh anaknya termasuk tiga wanita terlibat dengan najis dadah.
Lebih menyedihkan, warga emas itu sudah tidak mampu mengawal anak-anaknya yang berusia antara 17 dan 30 tahun itu yang menjadikan sebuah bilik di rumah mereka sebagai lokasi untuk melepaskan gian menghisap dadah.
Hasil risikan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang melakukan operasi bersama Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) pada Isnin lalu telah menyerbu rumah berkenaan dan menahan empat lelaki manakala tiga saudara wanita itu pula pernah ditahan agensi tersebut pada Oktober lalu.
Ketika ditahan, warga emas tersebut hanya mampu menangis melihat anaknya di tahan pihak berkuasa.
Pengarah AADK negeri, Azizah Ahmad berkata, hasil ujian air kencing didapati empat beradik itu positif dadah jenis methamphetamine.
"Hasil siasatan awal mendapati mereka telah menagih dadah lebih setahun. Hasil pendapatan mereka yang mendapat upah melakukan kerja-kerja kampung itu dihabiskan untuk membeli dadah," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Azizah, ada dalam kalangan adik beradik berkenaan sudah beberapa kali ditahan dan diletakkan di bawah pengawasan AADK dan polis namum masih mengulangi perbuatan sama.
"Kesemua mereka telah di bawa ke pejabat AADK Perlis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Dalam kes berasingan katanya, seramai 12 lelaki berusia 17 hingga 50 tahun telah ditahan kerana positif syabu dan morfin.
"Turut dirampas 25 botol air ketum yang setiap satu kandungannya 1.5 liter. Kes disiasat mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998," katanya. - Utusan