
Suspek yang ditahan kerana pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Sibu, dikatakan berpunca daripada mengambil gambar tanpa kebenaran. - Foto PDRM
SIBU: Tujuh individu, termasuk seorang wanita ditahan susulan insiden pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Wong King Huo, di sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zailanni Amit, berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan seorang lelaki mengambil gambar seorang wanita menggunakan telefon bimbit tanpa kebenarannya.
"Wanita berusia 30 tahun itu yang menyedari perbuatan lelaki berkenaan lalu bertindak bersemuka dengannya sebelum berlaku pertengkaran. Dia kemudian merampas telefon bimbit milik lelaki itu sebelum menamparnya.
"Berang dengan tamparan itu, pemuda terbabit bertindak spontan menyiku wanita berkenaan sebelum beberapa rakan mereka masuk campur dan berlaku pergaduhan antara dua kumpulan," katanya ketika ditemui BH pagi ini.
Katanya, kedua-dua kumpulan turut menggunakan beberapa senjata, termasuk batang kayu dan pedang samurai mengugut 'lawan' masing-masing, namun tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan dalam insiden berkenaan.
"Selepas rakaman video kejadian tular di laman sosial malam tadi, kita berjaya mengenal pasti kesemua suspek sebelum penahanan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
"Tiga suspek berjaya ditahan di Jalan Keranji, manakala empat lagi dicekup di Jalan Kampung Nyabor di sini. Seorang lagi suspek masih diburu, namun identitinya sudah dikenal pasti. Kita meminta suspek menyerah diri untuk membantu siasatan," katanya.
Zailanni berkata, pihaknya turut merampas semua senjata yang digunakan dan semua suspek juga akan direman untuk siasatan lanjut.
"Ujian saringan awal air kencing juga akan dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya. - BHarian