
AHLI Dewan Undangan Negeri Pilah, Datuk Norhayati Omar (kiri) melawat Mohd Azren di Hospital Tuanku Ampuan Najihah hari ini. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

KUALA PILAH: Perjalanan dua sahabat mencari lembu ternakan berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut akibat ditanduk kerbau liar di Kampung Mungkal Seberang di sini.
Dalam kejadian di pinggir kampung itu kira-kira jam 1 pagi kelmarin, Mohd Shafat Aminurdin, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah ditusuk pada perut, manakala Mohd Azren Shah Yazif, 27, patah tangan kanan selain cedera kaki kiri akibat serangan haiwan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok, berkata kedua-dua mangsa keluar untuk mencari 28 ekor lembu ternakan yang masih berkeliaran itu pada jam 11 malam di kawasan sekitar kampung berkenaan.
"Pada jam 1.20 pagi, abang kepada Mohd Azren Shah menerima panggilan daripada adiknya yang meminta pertolongan kerana mereka diserang kerbau liar.
"Ahli keluarga mangsa keluar mencari sebelum menemui kedua-dua mangsa pada jam 3 pagi di kawasan yang gelap di pinggir kampung itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Mohd Azren Shah yang cedera masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di sini, manakala jenazah Mohd Shafat sudah dikebumikan selepas bedah siasat. - BHarian