
Tertuduh dibawa ke mahkamah hari ini.
MELAKA - Seorang lelaki lembam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kesalahan serangan seksual ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun pada minggu lalu.
Tertuduh Muhammad Anill Asiff Zamaludin, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan serangan seksual fizikal ke atas kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun lima bulan dengan cara menghisap kemaluannya.
Tindakan itu dilakukannya di tandas Balai Raya Taman Tampak Paya Permai, di sini, kira-kira pukul 6.30 petang pada 13 September lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi momohon agar tiada jaminan diberikan kepada tertuduh kerana khuatir dia akan melakukan perkara tidak dingini memandangkan sentiasa berada di taman permainan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam M. Pusppa merayu jaminan dibenarkan dengan alasan walaupun sudah berumur 35 tahun, tertuduh masih berperwatakan seperti kanak-kanak, selain perlu berada di pangkuan keluarga.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15, 000 dengan seorang penjamin dan memberi amaran agar tidak menganggu mangsa.
Norma kemudian menetapkan 19 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. - Kosmo