![[Image: pacu4d.transformed.jpg]](http://assets.bharian.com.my/images/articles/pacu4d.transformed.jpg)
TAIPING – Seramai 10 remaja berusia antara 14 hingga 20 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam satu kes pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Expo, Kamunting, kira-kira jam 6.45 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, dua daripada remaja berkenaan masing-masing berusia 18 dan 20 tahun ditahan reman hingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan mendatangkan kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada pertengkaran kecil kerana tidak berpuas hati dengan bunyi ekzos motosikal yang kuat.
"Susulan pertengkaran itu, kedua-dua kumpulan remaja berkenaan bergaduh sehingga menyebabkan seorang daripada mereka cedera.
“Kerana tidak berpuas hati dengan kejadian itu, pergaduhan antara mereka berlarutan sehingga kumpulan terbabit mengambil tindakan menyerang rumah seorang remaja yang terlibat.
“Tindakan tersebut menyebabkan cermin kereta pemilik rumah pecah dan tiga individu yang berada di kediaman itu turut cedera ringan,” katanya.
Harrith Kam berkata, hasil siasatan polis di lokasi kejadian akhirnya berjaya menamatkan pergaduhan dan suspek melarikan diri.
Dalam pada itu, Harrith Kam menafikan pergaduhan berkenaan mempunyai unsur kumpulan kongsi gelap dan perkauman, sebaliknya berpunca daripada salah faham dalam kalangan pelajar.
“Sehingga kini siasatan masih lagi diteruskan untuk mengesan dan menangkap mereka yang masih bebas,” katanya. - Sinar