![[Image: 05sultan_1470291575.jpg]](http://assets.hmetro.com.my/images/articles/05sultan_1470291575.jpg)
SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang juga Kolonel Komandan Gerak Khas berkenan bertitah ketika berangkat menghadiri Sambutan Ulang Tahun Gerak Khas ke-51 di Kem Iskandar Mersing hari ini. FOTO Bernama
Mersing: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menarik balik darjah kebesaran Dato' yang dikurniakan Almarhum ayahandanya kepada penerima yang gagal hadir ke upacara Hari Hol Sultan Iskandar.
Baginda bertitah, penerima yang gagal hadir ke upacara memperingati kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar tanpa sebab dianggap tidak berminat untuk terus menjujung darjah kebesaran berkenaan.
"Suka saya beri peringatan kepada Dato’ Johor yang mendapat darjah kebesaran daripada Almarhum ayahanda saya supaya hadir pada majlis tahlil dan istiadat menziarahi makam sempena Hari Hol pada 6 Safar setiap tahun.
"Sekiranya ada penerima yang tidak sanggup berkorban masa untuk memperingati Almarhum, maka saya rasa lebih baik darjah kebesaran itu dikorbankan," titah baginda di majlis ulang tahun Rejiman Gerak Khas ke-51 di Kem Iskandar di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, penerima yang gagal hadir ke Hari Hol Sultan Iskandar perlu memulangkan semula darjah kehormat itu, sebagaimana mereka menerimanya dahulu atau baginda akan mengumumkan nama penerima yang ditarik balik darjah kebesaran itu. - Metro