Teheran: Sambutan liar berlaku di jalan raya sekitar bandar raya ini yang empat tahun lalu menjadi medan pertempuran selepas calon yang disokong kumpulan pembaharuan, Hassan Rowhani diisytihar memenangi pilihan raya Presiden Iran yang diadakan Jumaat lalu.
Kemenangan itu sekali gus membuka lembaran baru sejarah politik Iran selepas kumpulan konservatif gagal bersatu dan meneruskan cengkaman kuasa mereka.
Hassan diisytihar sebagai pemenang mutlak selepas meraih 50.68 peratus undi.
Pencabar terdekatnya, Datuk Bandar Teheran, Mohammad Baqer Qalibaf, hanya memperoleh 15.6 peratus undi. “Hidup Hassan,” laung puluhan ribu penyokongnya ketika mereka berarak meraikan kemenangan bekas perunding nuklear negara itu tanpa sebarang usaha pihak keselamatan untuk mengawal mereka.
Dalam kenyataan pertamanya selepas keputusan kemenangannya diumumkan, Hassan berkata: “Satu peluang baru sudah diwujudkan bagi mereka yang menghormati demokrasi, interaksi dan dialog bebas.” Berucap menerusi televisyen, Hassan, 64, satu-satunya calon berhaluan sederhana bertanding untuk menggantikan Mahmoud Ahmadinejad berkata: “Saya tidak pernah menyokong dasar ekstrim. Saya menyokong kesederhanaan.
“Syukur kepada Allah kerana sekali lagi kerasionalan dan kesederhanaan menyinari Iran. “Ini kemenangan kebijaksanaan, kesederhanaan dan kemenangan komitmen ke atas dasar ekstrim.” Bagi penyokongnya, mereka melihat keputusan pilihan raya itu sebagai penolakan terhadap dasar tidak tolak ansur yang menyebabkan negara itu tersisih dan tertekan akibat sekatan Barat.
Meskipun pernah memegang jawatan dalam kerajaan, khususnya sebagai perunding nuklear Iran, Hassan bersikap tegas dalam membantah dasar keras Presiden Mahmoud Ahmadinejad. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16
http://www.hmetro.com.my/articles/Adios_...d/Article/