Jakarta: Gabenor Joko Widodo yang mendahului undi populariti untuk pilihan raya presiden Indonesia tahun depan mengulangi kesetiaannya kepada Presiden Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputri.
Katanya, Megawati yang akan menentukan siapa bertanding.
Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi mendahului Prabowo Subianto daripada Parti Gerakan Indonesia Raya selaku pilihan pertama untuk menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono dalam kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia bulan lalu.
“PDI-P parti saya. Bu Mega (Megawati) pula pengerusi PDI-P. Beliau yang bertanggungjawab memilih siapa yang mewakili PDI-P. Tanya dia. Jangan tanya saya,” kata Joko, 51, dalam temu ramah di Jakarta baru-baru ini. Peningkatan mendadak populariti Joko selepas menang jawatan Gabenor Jakarta September lalu menyemarakkan spekulasi bahawa beliau akan bertanding merebut jawatan presiden tahun depan.
Kajian bulan lalu menunjukkan, jika Joko bertanding, beliau akan meraih 28.6 peratus undi, diikuti oleh Aburizal Bakrie dari Golkar, 15.6 peratus dan 5.4 peratus untuk Megawati. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16
http://www.hmetro.com.my/articles/201306...5/Article/