Bangkok: Pemimpin penduduk Islam, semalam berkata, mereka mahu pergerakan pemisah di selatan menghentikan kegiatan keganasan ketika bulan suci Ramadan yang bakal bermula bulan depan.
Imam daripada 634 masjid di seluruh wilayah selatan Narathiwat bertemu dengan Pengarah Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Kolonel Tawee Sodsong di pejabat Jawatankuasa Islam Narathiwat. Pertemuan itu diadakan bagi mendengar pendapat imam mengenai lima tuntutan Barisan Revolusi Nasional (BRN) terhadap penyelesaian perdamaian konflik di selatan menjelang rundingan damai antara kerajaan Thai dan BRN yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada Khamis ini.
Kumpulan itu menggesa Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC) meminta BRN agar menamatkan semua bentuk keganasan ketika bulan puasa yang bakal bermula 8 Julai depan.
Presiden Gabungan Majlis Islam di lima wilayah selatan, Abdulrahman Abdulsamad berkata, Iran dan Iraq juga bersetuju mencapai perjanjian gencatan senjata ketika Ramadan pada 1988 selepas lapan tahun berperang dan dia berharap pejuang pemisah di selatan akan menerima rayuan kumpulan imam itu kerana kedua-dua belah pihak sama-sama saudara Islam.
Abdulrahman juga menyarankan supaya kerajaan Thai dan BRN masing-masing patut berundur selangkah ke belakang dengan segera bagi mencapai penyelesaian yang neutral dan konkrit ketika rundingan damai 13 Jun selain menggalakkan kedua-dua belah pihak agar terus berusaha mewujudkan perdamaian di selatan. - Bangkok Post
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10
http://www.hmetro.com.my/articles/Pemisa...n/Article/