![[Image: je_13.1.jpg]](http://utusan.com.my/pix/2014/0708/Utusan_Malaysia/Jenayah/je_13.1.jpg)
Suspek kes ragut (kanan) basah kuyup selepas terjun ke dalam sungai bagi mengelakkan dipukul di Sungai Petani, Kedah, semalam.
SUNGAI PETANI 7 Julai - Akibat takut dipukul orang ramai, seorang peragut bertindak nekad terjun ke dalam sungai di Jalan Petri, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan suspek hampir lemas kerana tidak pandai berenang.
Bagaimanapun lelaki berusia 40-an terbabit diselamatkan orang ramai dan diserahkan ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, suspek sebelum itu dikatakan meragut beg tangan milik seorang wanita berusia 30-an yang sedang menunggu bas di stesen bas Jalan Petri.
Suspek kemudian menolak mangsa hingga jatuh ke jalan raya sebelum melarikan diri.
Mangsa berusia 30-an menjerit meminta tolong. Orang ramai yang menyaksikan kejadian mengejar suspek hingga ke tebing sungai dan suspek yang bimbang dipukul bertindak terjun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.