*****
*****
MUAR: Sebuah pasar raya di bandar ini kecoh apabila sekumpulan monyet menceroboh masuk ke dalam stor simpanan barangan premis berkenaan, petang semalam.
Kumpulan hampir 20 monyet itu bukan saja menggeledah barangan, malah turut membuka bungkusan makanan menyebabkan stor berselerak.
Kehadiran haiwan itu hanya disedari dua pekerja stor pasar raya berkenaan pada jam 1 tengah hari ketika mereka mahu keluar makan.
*****
*****
Pekerja yang mahu dikenali sebagai Mat, berusia lingkungan 20-an berkata, ketika melintasi stor, dia berasa pelik apabila mendapati beberapa kotak barangan berterabur di atas lantai.
Kata Mat, pada mulanya dia menyangka barangan itu terjatuh kerana diletakkan di tempat tinggi namun sangkaannya salah.
“Saya tidak sedap hati dan terfikir untuk memeriksa bahagian lain dan mendapati ia juga berselerak. Saya terus memanggil seorang rakan untuk melakukan pemeriksaan di stor.
“Sebaik saja membuka pintu stor, kami terkejut melihat sekumpulan monyet sedang menggeledah kotak berisi makanan, kami halau haiwan terbabit namun gagal,” katanya.
Menurut Mat, dia kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pengurusan pasar raya sebelum mereka menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Muar untuk mendapatkan bantuan.
Sebagai langkah keselamatan, pengurusan pasar raya mengambil keputusan menutup pintu stor yang menghubungkannya dengan pasar raya bagi mengelak haiwan itu lari ke bahagian lain.
http://www.hmetro.com.my/articles/Kecoha.../artikelMA