![[Image: 10441414_10152405065067052_2757346035406317163_n.jpg]](http://fbcdn-sphotos-d-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xpf1/t1.0-9/10441414_10152405065067052_2757346035406317163_n.jpg)
Shah Alam: Gara-gara takut ditahan polis kerana tidak memiliki lesen memandu serta cukai jalan, seorang remaja lelaki maut selepas motosikalnya melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Kayangan, Seksyen 9, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Mohd Syafiq Ismail, 19, dikatakan cuba melarikan diri selepas terserempak anggota peronda polis bermotosikal yang mengarahkan dia berhenti untuk membuat pemeriksaan selepas menunggang dalam keadaan mencurigakan.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan memecut motosikalnya menghala ke Seksyen 9 menyebabkan angggota itu mengejarnya.
Menurut sumber, sepasukan anggota polis terserempak dengan mangsa ketika membuat rondaan di Seksyen 7 dan meminta dia berhenti namun mangsa tidak memberi kerjasama.
“Ketika kejadian, mangsa menaiki motosikal bersama pembonceng wanita dipercayai teman wanitanya melarikan diri, namun sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa melanggar lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan kereta datang dari Persiaran Masjid.
“Polis dan orang ramai membantu mangsa mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 2 pagi semalam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang manakala pembonceng yang berusia 17 tahun patah tangan kanan dan kaki kiri,” katanya.
Menurutnya, siasatan polis mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu serta motosikalnya tiada cukai jalan.
Katanya, polis sudah merakamkan percakapan awal pemandu kereta berkenaan yang berusia 40-an bagi membantu siasatan.