![[Image: 196635-0-600.jpg]](http://dy.snimg.com/story-image/1/6/4547075/196635-0-600.jpg)
Dia langsung tidak kenal Lionel Messi dan negaranya tidak layak ke pusingan akhir Piala Dunia.
Tetapi ibu lima anak di Pakistan ini tidak sabar menunggu acara sukan terulung itu kerana dia terbabit dalam pembuatan bola rasmi kejohanan itu - Brazuca.
Apabila Brazil dan Croatia memulakan kejuaraan itu di Sao Paolo pada 12 Jun ini, mereka mungkin menggunakan bola yang disiapkan Gulshan Bibi dan rakan sekerjanya di kilang Foward Sport di bandar Sialkot, timur Pakistan.
“Saya tidak sabar menunggu Piala Dunia bermula dan insya-Allah akan menyaksikan perlawanan itu.
“Bola yang kami buat akan digunakan dan semua wanita yang bekerja di sini amat bangga,” katanya.
Bola sepak tidak begitu popular di Pakistan.
Kuasa besar sukan kriket dunia itu menduduki tangga ke-159 dalam senarai bola sepak dunia.
Tetapi bandar Sialkot mempunyai sejarah dalam pembuatan bola sepak berkualiti tinggi.
Forward Sport bekerjasama dengan Adidas sejak 1995 dan membekalkan bola kepada beberapa liga bola sepak terkemuka dunia termasuk, Liga Juara-Juara, Bundesliga dan kini Piala Dunia.
Ia dipercayai bermula dengan seorang tukang kasut tempatan yang diminta menjahit semula sebiji bola sepak milik tentera yang bocor pada era penjajahan Britain.
Dia kemudiannya belajar membuat bola berkenaan.
Dari situ bermulanya kerjasama perniagaan hingga berjaya melahirkan sebuah industri yang pesat.
Bagaimanapun, skandal pekerja bawah umur sekitar 1990-an hampir meranapkan empayar perniagaan yang dibinanya itu.
Kini, jenama antarabangsa seperti Adidas menjalin kerjasama erat dengan kilang dan NGO untuk memastikan kawalan ketat bagi mengelakkan era buruh bawah umur tidak berulang lagi.
Di Foward Sport, pekerja mesti mempunyai kad pengenalan bagi membuktikan mereka berumur 18 tahun ke atas.
Walaupun dengan gaji pokok 10,000 rupee (RM545) sebulan, pekerja di situ berkata, kebajikan mereka terjaga dan menerima layanan baik daripada majikan.
Bagaimanapun, membuat bola mengikut standard pertandingan moden bukanlah satu perkara mudah.
Penghasilan Brazuca di kilang berkenaan dipelopori wanita bertudung dan berniqab.
Kira-kira 90 peratus yang bekerja di situ wanita - satu pemandangan yang luar biasa di Pakistan kerana kebiasaannya wanita negara itu hanya tinggal di rumah bersama keluarga.
Menurut Khawaja, wanita lebih rajin dan teliti berbanding pekerja lelaki.
Proses penghasilan sebiji bola mengambil masa 40 minit dan kilang berkenaan boleh menghasilkan kira-kira 100 biji bola dalam masa sejam.
Waktu dan kepantasan memainkan peranan utama untuk menghasilkan bola itu bagi mengelakkan sebarang benda asing ‘mencemari’ bahagian dalamnya.
Penghasilannya membabitkan proses berteknologi tinggi dan kebanyakan pekerja di Pakistan tidak mempunyai kemahiran dan pelajaran - hanya sebahagian yang boleh menulis dan membaca.
Ketua Pegawai Eksekutif Forward Sport, Khawaja Masood Akhtar berkata latihan diberikan kepada pekerja tidak mahir, mungkin bagi mengurangkan kos.