![[Image: image.jpg]](http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.224506.1385430126!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_490/image.jpg)
Asisten Superintendan dituduh bantu 'kasanova' lari dari tahanan
Georgetown: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Majistret di sini, semalam, bahawa dia diarahkan oleh pegawai atasannya untuk tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai ‘kasanova bersiri’ yang lari daripada tahanan, Oktober tahun lalu.
Koperal N Isparan, 36, berkata Asisten Superintendan L Chandkumary, mengarahkannya tidak mendedahkan kehilangan K Prabaharan dari bilik tahanan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang.
Katanya, dia yang pada awalnya mendapati Prabaharan tiada di pejabat balai polis mahkamah, diminta Chandkumary pergi ke Jalan Penang di sini, pada jam 3.11 petang pada hari kejadian.
“Ketika itu, saya sudah berada di pejabat polis mahkamah selepas makan tengah hari.
“Selepas itu, saya mendapat mesej daripada Chandkumary supaya ke Jalan Penang dan beberapa minit kemudian menerima satu lagi mesej meminta saya ke KOMTAR (Kompleks Tun Abdul Razak) pula,” katanya.
Isparan berkata, dia pergi ke KOMTAR dan kemudian mendapati kereta putih milik Chandkumary diletakkan di bahu kanan jalan serta mendapati Chandkumary berada dalam kenderaan itu.
“Saya berjumpa dengannya dan mendapati dia berada dalam keadaan panik. Dia juga berkata tahanan sudah melarikan diri dan minta saya untuk tidak memberitahu sesiapa mengenainya,” katanya.
Bantu tahanan lari
Chandkumary dituduh membantu Prabaharan melarikan diri dengan tangan bergari ketika ditinggalkan bersendirian dalam pejabatnya di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, pada jam 2 petang, 10 Oktober tahun lalu.
Prabaharan yang menyamar seorang doktor, didakwa memperdaya sekurang-kurangnya 20 wanita menerusi laman sosial membabitkan kerugian lebih RM500,000 sejak 2001.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Talib, manakala pembelaan oleh peguam bela Danny C Nevarednam.
Dianne Ningrad menangguhkan perbicaraan sehingga 16 dan 17 Julai depan.
http://www.bharian.com.my/bharian/articl...es/Article