
Pertemuan ibu bapa, pihak sekolah dan polis membabitkan kes 25 pelajar sekolah menengah di Jombang, dekat Surabaya, menjadi mangsa cabul guru.
Surabaya: Perbuatan seorang guru sekolah menengah mencabul 25 pelajar sejak Julai tahun lalu, dengan perbuatan terakhirnya 7 Februari lalu, mengejutkan penduduk di Jombang, dekat Surabaya.
Kegiatan guru mengajar subjek Bahasa Indonesia itu terbongkar selepas enam pelajar mengaku kepada guru kaunseling mereka menjadi mangsa cabulnya.
Menurut laporan Detik News, walaupun enam pelajar membuat laporan, pihak sekolah percaya jumlah sebenar yang menjadi mangsa ialah 24 atau 25 pelajar.
Guru terbabit melakukan perbuatan keji itu ketika kelas tambahan atau sesi pembelajaran luar kelas, termasuk perkhemahan.
Berikutan itu, ibu bapa mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah minggu ini, menggesa tindakan tegas diambil terhadap guru terbabit.
Seorang bapa mangsa dikenali sebagai Rudi, berkata, guru itu meraba badan pelajar dan menyuruh mereka masuk ke dalam bilik air.
“Di sana dia meraba mangsa, termasuk bahagian sulit dan melakukan aksi persetubuhan, namun tidak sampai berlaku persetubuhan,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir guru terbabit melakukan perbuatan itu ialah pada 7 Februari lalu.
“Dia menggunakan sesi kelas tambahan di sekolah yang sengaja diadakan.
“Guru itu melakukan perbuatan itu sejak Julai tahun lalu, kemudian pada Oktober dan Disember.
“Guru besar memanggil guru terbabit dan dia mengakui perbuatannya,” kata Rudi.
Sementara itu, pengetua sekolah terbabit, Suprayitno, menjelaskan kejadian cabul itu bukan hanya berlaku di sekolah tetapi ketika aktiviti perkhemahan di luar sekolah.
“Guru itu mengaku kesalahannya dan dipindahkan sejak minggu lalu.
“Kes ini diserahkan kepada Jabatan Pendidikan untuk siasatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Jombang, Agung Marlianto, berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan kes itu. - Metro