

BUKIT MERTAJAM 11 Feb. – Pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki didera majikannya di sebuah rumah di di Taman Kota Permai di sini, meninggal dunia petang ini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid yang memaklumkan amah dari Medan berusia 21 tahun berkenaan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam di sini.
Petang semalam, polis menyelamatkan pembantu rumah itu selepas menerima laporan daripada orang awam yang melihat dia ditinggalkan dalam keadaan lemah selain terdapat kesan kecederaan pada badan di bahagian luar sebuah rumah di Taman Kota Permai.
Ekoran itu, polis menahan reman dua beradik masing-masing lelaki dan wanita berusia 40-an dipercayai ahli keluarga majikan pembantu rumah berkenaan.
Siasatan awal mendapati, mangsa yang baru beberapa bulan bekerja di rumah berkenaan dibiarkan tidur di luar rumah bersama anjing serta tidak diberi makanan. - Utusan