Paparan skrin pendedahan seorang gadis mendakwa diganggu seorang pegawai JPJ semasa ujian memandu.
Antara gangguan yang didakwa dialami mangsa.
(Gambar kiri) Pegawai JPJ yang didakwa melakukan gangguan terhadap mangsa, sedang memeriksa peserta lain. (Gambar kanan) Pegawai JPJ berkenaan pada sehari selepas kejadian.
PETALING JAYA: Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun semasa ujian memandu, diarah bertukar ke bahagian lain berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, tindakan itu diputuskan sejurus menerima laporan dakwaan salah laku membabitkan pegawai berkenaan sehinggalah siasatan mengenainya selesai.
“Kita dah tukarkan pegawai berkenaan ke bahagian lain yang bukan melibatkan ujian memandu, sementara siasatan dijalankan.
“Kes tersebut kini disiasat oleh bahagian integriti di JPJ negeri Selangor,” kata Wan Ahmad Uzir kepada mStar Online, Sabtu.
mStar Online sebelum ini melaporkan seorang gadis yang merupakan anak saudara kepada seorang ahli politik mendakwa dirinya diganggu secara seksual dalam kejadian di sebuah institut memandu di Shah Alam, Rabu.
Sehubungan itu, Wan Ahmad Uzir menegaskan bahawa pegawai berkenaan masih lagi bertugas dan tidak dibuang kerja sebagaimana dakwaan awal mangsa.
Beliau menambah, keterangan mangsa termasuk butiran berhubung kejadian akan diteliti bagi menyiasat kesahihan dakwaan salah laku membabitkan pegawainya.
“Kita tak boleh jatuhkan hukuman sebab dia (pegawai) belum didapati bersalah. Kalau dia bersalah, barulah kita ambil tindakan terhadap dia.
“Tindakan tatatertib tu banyak, sama ada buang kerja, turun pangkat dan potong gaji. Kita tunggu dahulu siasatan dijalankan,” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai pegawai terbabit. - MStar