
Paparan skrin CCTV menunjukkan Ivana Smit (kanan) diusung keluar sebuah kelab di Malaysia beberapa jam sebelum ditemui mati. — Foto ihsan Twitter/Sebas M Diekstra

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Kini muncul dakwaan model muda Belanda, Ivana Smit, diusung seorang lelaki Amerika Syarikat sebelum mayatnya ditemui.
Peguam keluarga mangsa, Sebas Diekstra, mendedahkan imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Twitter, lapor portal NL Times di negara itu.
“Rakaman kamera yang baru muncul menunjukkan Smith di sebuah kelab di Malaysia beberapa jam sebelum ditemui mati,” lapor portal itu.
“Rakaman itu menunjukkan warga Amerika Alexander Johnson mengusung model Belanda berusia 18 tahun itu keluar dari kelab.”
Pada awal Disember lalu, Smit maut terjatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Jalan Dang Wangi dalam keadaan bogel.
Dikatakan dalam pengaruh alkohol, mayatnya ditemui di balkoni tingkat 6 selepas pulang dari sebuah pusat hiburan di Bangsar.
Gadis itu ke sana bersama pasangan suami isteri, pemilik unit kondominium berkenaan, seorang lelaki Amerika Syarikat dan wanita Kazakhstan.
Kelmarin, penyiasat persendirian yang diupah keluarganya mendakwa kematian model itu satu kes bunuh dan cuba disorok pihak berkuasa di sini.
Mark Williams-Thomas membuat dakwaan itu kepada TV Limburg (TVL), sebuah stesen Belgium, selepas seminggu menyiasat di Kuala Lumpur.
“Saya tidak ragu lagi. Daripada bukti yang saya kumpul minggu ini dan maklumat forensik, kita boleh katakan dengan yakin ... jika di United Kingdom, ia akan dianggap kes bunuh,” katanya kepada stesen itu. - MMO