
Malaysian jailed 36 months for illegally bringing in RM35.5mil cash into Singapore - ASEAN/East Asia
LELAKI Malaysia yang meraih ‘pendapatan’ RM2,500 sebulan dengan membantu seorang rakyat India membawa masuk wang secara haram ke Singapura berjumlah hampir S$12 juta (RM36 juta) selama hampir lapan bulan, dipenjara 36 bulan semalam selepas mengaku salah atas 30 tuduhan.
Abdul Jalil Sulaiman, 47, membawa wang masuk ke negara itu tanpa memberi butiran tepat kepada pegawai di pusat pemeriksaan Woodlands dalam tempoh hampir lapan bulan antara 4 September 2013 hingga 16 April 2014, dengan jumlah keseluruhan terbabit dipercayai yang paling tinggi dalam kes seumpama itu.
Mahkamah turut mengambil kira 70 tuduhan lain terhadapnya ketika menjatuhkan hukuman, semalam.
Abdul Jalil mendakwa bekerja untuk individu bernama Mohd Salim, rakyat India dengan status penduduk tetap Malaysia, yang memiliki kira-kira lima premis pertukaran wang.
Menurutnya, pada 2013, Mohd Salim memintanya mendaftar dua syarikat - Jamiz Man Solution dan Jamiz Enterprise - serta membuka dua akaun bank untuknya.
Dalam tempoh hampir lapan bulan itu, Mohd Salim memasukkan wang ke dalam akaun terbabit dan mengarahkan Abdul Jalil mengeluarkannya serta menghantarnya kepada individu di Singapura. Abdul Jalil tidak mengenali orang terbabit.
Selepas mengeluarkan wang, Abdul Jalil menemui Mohd Salim untuk mengambil telefon bimbit yang menggunakan nombor Singapura, sebelum membawa wang tunai ke republik itu menerusi pusat pemeriksaan Woodlands.
Dia seterusnya pergi ke Serangoon Road untuk menyerahkan wang berkenaan kepada individu terbabit sebelum pulang ke Malaysia.
Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Stacey Anne Fernandez berkata, siasatan menunjukkan Abdul Jalil memfailkan 106 laporan pergerakan tunai sepanjang tempoh berkenaan, dengan 101 daripadanya membabitkan lebih S$30,000 (RM89,000) setiap satu. Jumlah keseluruhan diisytiharkan dalam 101 laporan berkenaan kira-kira S$12 juta.
Katanya, perbuatan tertuduh itu kerana terdorong oleh kepentingan peribadi manakala kesalahan dilakukan untuk tempoh berterusan.
Abdul Jalil membuat deklarasi palsu dalam pelbagai bahagian laporan termasuk secara palsu menyatakan nama orang yang memberikan wang kepadanya, penerima wang berkenaan dan jumlah dibawa masuk ke Singapura.
Mengikut undang-undang, sesiapa yang membawa keluar atau masuk wang tunai Singapura serta penanggung instrumen boleh runding melebihi S$20,000 (RM59,000) atau setaranya dalam mata wang asing, dikehendaki membuat laporan berhubung pergerakannya.
Sementara itu, Abdul Jalil ketika merayu hukuman dikurangkan berkata, dia tidak sedar kejadian itu menyebabkan masalah besar untuknya.
Menurutnya, Mohd Salim mengumpannya dengan wang dan berkata tiada masalah jika dia mengisytiharkan wang itu. - Agensi/Metro