
MENAHAN bersin boleh menyebabkan tekak, gegendang telinga atau saluran darah dalam otak pecah. - Foto AFP
PARIS: Penyelidik mendedahkan menahan bersin boleh menyebabkan tekak, gegendang telinga atau saluran darah dalam otak pecah.
Kajian diterbitkan jurnal perubatan BMJ Case Reports, menjelaskan, ramai merasa hendak bersin, tetapi segera menahannya sehingga menerima tekanan dalaman akibat bersin.
Betapa berbahaya tindakan itu boleh dibayangkan apabila seorang lelaki berusia 34 tahun muncul di pusat kecemasan sebuah hospital di Leicester, England, baru-baru ini dengan bengkak leher dan dalam kesakitan amat sangat.
"Pesakit menjelaskan rasa meletup pada lehernya selepas cuba menahan bersin dengan memicit hidung dan menutup mulut," kata doktor menerangkan secara terperinci dalam kajian diterbitkan jurnal perubatan BMJ Case Reports.
Imbasan Tomografi Berkomputer (CAT) mengesahkan anggapan mereka, daya tekanan menahan bersin menyebabkan belakang tekak mangsa terkoyak dan terbuka.
Lelaki itu, yang tidak boleh menelan atau bercakap, dimasukkan ke hospital di mana dia diberi makan menggunakan tiub dan antibiotik intravena sehingga bengkak dan sakit hilang. Dia dibenarkan keluar selepas seminggu dirawat.
"Menahan bersin dengan menyekat lubang hidung dan mulut adalah tindakan berbahaya dan perlu dielakkan," doktor merumuskan.
Mereka menjelaskan, dalam kes jarang berlaku, menyekat bersin menjurus keadaan di mana udara terperangkap antara peparu dan 'malah memecahkan aneurisme serebrum, keadaan saluran darah bengkak seperti belon dalam otak.' -AFP/BHarian