
Kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), USS Coronado, akan berkunjung dan berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini bulan ini. - Foto Ihsan Kedutaan Amerika Syarikat
LUMUT: Kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), USS Coronado, akan berkunjung ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini bulan ini.
Menurut kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara hari ini, sepanjang berada di Malaysia, anak kapal USS Coronado akan berinteraksi dengan rakan sejawatan di TLDM dan mengadakan program bersama masyarakat setempat.
"Pada 2014, Coronado menjadi LCS keempat dalam armada US Navy. Kapal berkenaan direka untuk belayar dengan kelajuan tinggi, di pesisiran yang cetek dan mampu melakukan pelbagai operasi sama ada secara bersendirian atau berkumpulan," katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, kapal berkenaan juga direka khas untuk menangani ancaman keselamatan di pesisiran perairan.
Ketika ini, Pegawai Memerintah USS Coronado ialah Komander Douglas K Meagher, dengan dibantu 203 anak kapal.
"Selain berinteraksi dengan warga TLDM Lumut, anak kapal USS Coronado juga akan menyertai beberapa siri program komuniti dengan tujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua negara," katanya.
USS Coronado dijangka berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut pada pertengahan bulan ini, namun tarikh sebenar akan diumumkan minggu depan.
Warga media di Perak turut dijemput untuk membuat liputan lawatan kapal perang terbabit, termasuk berpeluang menemubual pegawai memerintah kapal berkenaan. - BHarian
====
Kapal Tempur Pesisir (LCS) USS Coronado tiba di Pangkalan TLDM Lumut sempena eksesais Aktiviti Latihan Maritim.


