
TERTUDUH cuba menendang beberapa jurugambar yang merakam wajahnya selepas dia dituduh membunuh seorang warga emas di Mahkamah Majistret Seremban hari ini. - UTUSAN ONLINE/IZZUL AHMAD
RASAH 19 Sept. - Seorang lelaki yang berdepan pertuduhan kes bunuh di Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini bertindak agresif apabila cuba menendang beberapa jurugambar yang merakam gambarnya.
Tertuduh, Chong Kar Boon, 22, berbuat demikian semasa dibawa keluar dari mahkamah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut kertas pertuduhan, dia dituduh membunuh seorang warga emas, Gan Swee Eng, 70, dekat persimpangan lampu isyarat Jalan Tuanku Munawir di sini pada pukul 4.10 pagi, 7 September lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Rahimah Rahim.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng, manakala tertuduh diwakili peguam, T.L. Chen dan Datuk Hamdan Majid.
Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk sebutan semula kes tersebut. - Utusan