![[Image: 8217salman1_1486547301.jpg]](http://assets.hmetro.com.my/images/articles/8217salman1_1486547301.jpg)
MANGSA (gambar kecil, dari kiri) Mohd Lazi, Nurfarisha dan Nur Balqisha maut di lokasi kejadian. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Melaka: Tiga beranak maut digilis lori pasir selepas motosikal ditunggang terbalik di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang, Telok Mas di sini, hari ini.
Dalam kejadian 1.30 tengah hari tadi, mangsa, Mohd Lazi Mohd Taher, 35, bersama dua anaknya, Nurfarisha Amanina, 8, dan Nur Balqisha Amani, 5, maut di tempat kejadian.
Difahamkan, mangsa yang berasal dari Taman Bukit Larang, dikatakan dalam perjalanan pulang selepas mengambil anak keduanya di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Kemas Bukit Larang ditemani anak sulungnya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas.
Menurut sumber, mangsa dipercayai cuba memotong lori 10 tan membawa muatan pasir sebelum motosikal ditunggang bergesel dengan kenderaan berat itu dan terbabas.
Tiga beranak itu kemudian digilis lori dan maut di tempat kejadian. Mayat ketiga-tiga mangsa sudah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat. - Metro
_____________
3 beranak satu liang lahad
![[Image: 9217hatim1_1486571304.jpg]](http://assets.hmetro.com.my/images/articles/9217hatim1_1486571304.jpg)
ABANG sulung Allahyarham Mohd Lazi Mohd Taher, Nor Azman, 47, menyiram air mawar di pusara tiga beranak. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Melaka: Cuaca mendung mengiringi pengebumian tiga beranak, malam tadi yang mati dalam kemalangan di Kampung Balik Bukit, Telok Mas, di sini, semalam.
Jenazah Mohd Lazi Mohd Taher, 35, dua anaknya Nurfarisha Amanina, 8, dan Nur Balqisha Amani, 5, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Telok Mas pada 10 malam.
Terdahulu, jenazah tiga beranak itu dituntut ahli keluarga dari Jabatan Forensik Hospital Melaka, pada 8.30 malam sebelum dibawa ke rumah ibu mangsa di Tambak Paya, Telok Mas, untuk disembahyangkan.
Jenazah kemudian dibawa menggunakan tiga van tiba di tanah perkuburan pada 9.30 malam dengan diiringi hampir 200 ahli keluarga, waris dan rakan arwah.
Dalam kejadian 1.30 tengah hari tadi, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia apabila digilis lori pasir selepas motosikal ditunggang terbalik. - Metro