![[Image: 04hm050c_1470265554.jpg]](http://assets.hmetro.com.my/images/articles/04hm050c_1470265554.jpg)
MANGSA tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Kuala Lumpur: Seorang anggota polis trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak meninggal dunia selepas bermain sepak takraw bersama rakannya.
Dalam kejadian jam 6.20 petang kelmarin, mangsa, Sarjan Zainol Hassan, 54, dikatakan berhenti rehat ketika bermain di gelanggang sepak takraw di Jalan 10/42, Taman Koh Doh, Jinjang, di sini.
Mangsa bagaimanapun rebah dan tidak sedarkan diri menyebabkan beberapa rakannya menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.
Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika diperiksa anggota perubatan.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Selayang sebelum dikebumikan di Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan.
Difahamkan arwah mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi dan masih meneruskan rawatan di klinik kesihatan Jalan Sungai Tua, Gombak.
Rakan sekerjanya, pegawai penyiasat trafik IPD Gombak, Inspektor L Ramacandran berkata, Sarjan Zainol amat disenangi rakan setugas walaupun mempunyai perwatakan serius.
“Dia seorang yang sangat aktif dalam sukan dan gemar berkongsi pendapat dan pengalaman bersama anggota lain.
“Malah dia sangat tegas dan berdedikasi ketika menjalankan tugas. Dia akan mengikut segala arahan diberikan tanpa merungut serta melakukan segala kerja dengan cekap dan profesional,” katanya.
Difahamkan mangsa meninggalkan lima anak berusia 18 hingga 30 tahun. - Metro