![[Image: 22hm47kajh_1463865668.jpg]](http://assets.hmetro.com.my/images/articles/22hm47kajh_1463865668.jpg)
HASHIMAH menunjukkan antara bahan bacaan lucah yang dirampas.
Kuala Lumpur: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semakin kerap dijadikan pintu masuk menyeludup pelbagai objek lucah dari luar negara.
Bagaimanapun, tindakan itu berjaya dikesan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hasil penahanan beberapa individu yang dikenal pasti cuba menyeludup pelbagai majalah lucah, barangan permainan seks dan komik lucah.
Hasil siasatan dan pemeriksaan KDN dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini mendapati hampir 300 bahan bacaan dan peralatan berunsur lucah dirampas di KLIA selain beberapa premis di Pahang, Selangor dan Johor.
Setiausaha Bahagian Kawalan dan Penerbitan al-Quran KDN Hashimah Nik Jaafar berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan dan rampasan barangan lucah di pejabat pos sekitar ibu kota.
Menurutnya, kebanyakan barangan itu dihantar melalui khidmat penghantaran ekspres dari luar negara dengan diisytiharkan sebagai cenderamata.
“Berdasarkan pemeriksaan dilakukan, sebanyak 78 produk dirampas adalah komik lucah dipercayai diimport dari Jepun dan China.
“Setakat ini kami masih berusaha mengesan individu yang melakukan urusan jual beli bahan terlarang ini,” katanya.
Hashimah berkata, pihaknya percaya bahan tidak bermoral itu mempunyai peminat dan pembeli khusus memandangkan ia terus dibawa masuk ke dalam negara.
“Pihak KDN turut membuat pemeriksaan di pesta buku sekitar ibu kota dan mengesan wujudnya penjualan barang terlarang berkenaan.
“Kami turut mendapati ada bahan bacaan lucah dijual di pesta buku yang dibawa masuk dari luar negara,” katanya.
Hashimah berkata, pihak penganjur mungkin tidak menyedari kewujudan bahan larangan berkenaan memandangkan ia diambil secara pukal.
“Individu yang didapati mempunyai atau menyimpan bahan larangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya. - Metro