![[Image: osmena_3.jpg?itok=uESlgWO4]](http://www.sunstar.com.ph/sites/default/files/styles/large/public/field/image/article/osmena_3.jpg?itok=uESlgWO4)
MANILA – Bakal Datuk Bandar Cebu, Tomas Osmena semalam menyatakan bahawa beliau menawarkan ganjaran kepada polis yang berjaya membunuh penjenayah.
Osmena berkata, beliau akan membayar 50,000 peso (RM4,350) untuk setiap penjenayah yang dibunuh dan 5,000 peso (RM435) untuk yang dicederakan.
“Jika anda membunuh seorang penjenayah semasa bertugas, anda akan diberikan ganjaran, tiada soalan mengenainya. Saya di sini untuk membantu pihak polis dan bukannya mendakwa mereka.
“Matlamat saya supaya penjenayah takut. Jika mereka mahu melakukan jenayah, mereka terpaksa berperang dengan saya dan saya akan pastikan mereka dibunuh,” kata Osmena kepada agensi berita AFP dalam satu wawancara telefon.
Osmena membuat janji itu susulan Datuk Bandar Davao, Rodrigo Duterte menang dalam pilihan raya Presiden pada 9 Mei lalu selepas beliau berjanji akan membunuh puluhan ribu penjenayah untuk mengembalikan ketenteraman awam.
Ditanya sama ada beliau mencontohi Duterte, Osmena berkata: “Saya bukan terpengaruh dengannya tetapi saya fikir beliau melakukan perkara yang betul.”
Osmena berkata, wang ganjaran itu bukan diambil daripada dana kerajaan tetapi enggan mendedahkan sumbernya.
Pada minggu ini, beliau memberi ganjaran 20,000 peso (RM1,740) kepada seorang anggota polis yang mencederakan dua perompak dalam satu pertempuran senjata api. – AFP/Kosmo