KOTA BHARU: Seorang pelajar Maahad Tahfiz Darul Anuar, Pulau Melaka di sini meninggal dunia semalam akibat terkena jangkitan virus kencing tikus (Leptospirosis) selepas mengikuti perkhemahan pada bulan lepas di Bukit Bakar, Machang.
Sheikh Mohd Alif Sheikh Mohd Fauzi, 17, dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, pada 30 Mei lalu berikutan demam yang dihidapinya selepas perkhemahan tersebut.
Ibu saudara mangsa, Nur Ilyana Che Mat, 33, berkata Sheikh Mohd Alif mengikuti perkhemahan yang dianjurkan sekolahnya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Anak saudara pergi ikut perkhemahan tersebut beberapa hari sebelum cuti pertengahan tahun baru-baru ini dan kemudiannya pulang ke rumahnya di Paka, Terengganu.
"Mohd Alif kemudiannya kembali ke sekolah selepas tamat cuti sekolah tersebut, namun tidak mengikuti sesi riadah dan ulangkaji sehinggalah seorang guru yang membuat pemeriksaan di asrama menemui beliau berada dalam keadaan lemah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Nur Ilyana berkata guru tersebut kemudiannya membawa Mohd Alif ke HUSM Kubang Kerian untuk menerima rawatan dan pihak hospital mengesyaki beliau terkena demam denggi, namun pemeriksaan susulan mendapati terkena jangkitan virus kencing tikus.
"Mohd Alif meninggal dunia kira-kira 9 pagi semalam dan dikebumikan di kampung ibunya di Kampung Gong Pasir, Dungun, Terengganu pada hari sama," katanya.
Sementara itu, Pengarah HUSM Kubang Kerian Datuk Dr Zaidon Kamari dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini mengesahkan mengenai kematian pelajar tersebut akibat virus jangkitan kencing tikus.
Beliau juga mengesahkan bahawa pesakit itu, sebelum ini, dimasukkan ke HUSM Kubang Kerian. - BERNAMA
http://www.bharian.com.my/articles/Pelaj...s/Article/